suria

Ibu baca sajak pada majlis pengebumian peringati Nora Anne

Nora Anne disemadikan di tempat kelahiran ibunya di Belfast pada Rabu.

REMAJA kurang upaya, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemukan mati di Malaysia disemadikan pada Rabu di tempat kelahiran ibunya di Belfast, Ireland.

Mayat remaja itu ditemui 13 Ogos lalu berhampiran air terjun, kira-kira 3.2km dari tempat penginapan keluarganya ketika bercuti di Seremban, Negeri Sembilan.

Nora meninggal dunia akibat tekanan dan kebuluran selepas hilang dalam hutan selama 10 hari.

Mayatnya disemadikan pada Rabu dalam upacara penuh emosi di Gereja St Brigid di Belfast.

Menerusi laporan Daily Mail, ibunya, Meabh Quoirin, turut membacakan sajak yang menyentuh hati sebagai memperingati anak perempuannya itu.

Nora Anne berada pada malam pertama ‘lawatan seumur hidup’ dengan keluarganya termasuk dua adiknya, Innes, 12 dan Maurice, 8, apabila dia hilang.

Dia dipercayai meninggalkan bilik yang dihuni bersama dua adiknya di pusat peranginan terbabit dan merayau di dalam hutan.

Usaha mencari dilancarkan dan mayatnya ditemui dalam keadaan bogel oleh sepasukan sukarelawan, 10 hari selepas dia hilang.

Sebelum itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, keputusan pemeriksaan selepas bedah itu memperkuat kepercayaannya bahawa Nora Anne tidak diculik sebaliknya meninggal dunia akibat kelaparan setelah tersesat.

Sementara itu, Peguam keluarga itu, Charles Morel berkata, dia percaya 'penglibatan jenayah' tidak dapat diabaikan dan ia sangat mustahil Nora hilang secara sukarela. - Sinar Harian

pengebumian, Nora Anne, kebuluran, sesat

Artikel Lain