SEBUAH video menunjukkan seorang 'budak' merokok semasa perlawanan amal bola sepak untuk mengutip dana bagi pesakit kanser mengejutkan netizen dan penyokong bola sepak di seluruh dunia. Penyokong bola sepak Turki memuatnaik video 'budak lelaki' itu di Twitter untuk mengenal pasti identitinya. Namun mengejutkan apabila individu yang tular itu sebenarnya lelaki berusia 36 tahun, lapor media tempatan. Terdahulu gelagat 'budak lelaki' merokok yang dirakam kamera semasa perlawanan antara Fenerbahce S.K dan Bursaspor itu mencetuskan kemarahan ramai pihak. Duduk di sebelah seorang budak lelaki, individu itu yang memakai skaf dan kemeja Bursaspor dilihat menghembuskan asap rokok sebelum sepak mula. Dua pasukan bola sepak itu setuju mendermakan semua kutipan yang diperoleh semasa perlawanan amal itu kepada persatuan kanser dan juga pertubuhan kanak-kanak Down Sindrom. Merokok di tempat awam di Turki adalah satu kesalahan dan individu yang berbuat demikian boleh dikenakan denda 13 pound sterling. Namun masih belum jelas sama ada tindakan diambil pihak berkuasa terhadap individu tersebut. - Metro.co.uk