suria

Menyayat hati! Anak sedang tunggu kematian enggan keluar hospital selepas bapa kehabisan wang, rayu rawatan diteruskan

Wang Yan merayu kepada ibu bapanya supaya penyakitnya dirawat. -foto Kwong Wah

BENARLAH kata orang, kesihatan adalah 'kekayaan' sebenar. Tanpa tubuh yang sihat, manusia tidak dapat menikmati erti sebenar kehidupan walaupun mempunyai wang yang banyak.

Dalam satu kisah menyayat hati yang dilaporkan oleh Kwong Wah Daily, seorang budak lelaki berusia lima tahun merayu kepada bapanya untuk menyelamatkan dirinya daripada penyakit kanser.

Ini kerana bapanya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar kos rawatannya.

Insiden yang berlaku di Heilongjiang, China, ini menyaksikan nasib sepasang suami isteri dan anak lelakinya, Wang Yan.

Pada usia lima tahun, Wang Yan menderita leukemia dan telah dirawat selama sembilan bulan tanpa menunjukkan tanda-tanda keadaannya semakin baik.

Malah, rawatan selama 9 bulan itu telah menyebabkan wang simpanan keluarga habis dan mereka tidak lagi mampu membayar kos rawatan.

Menyedari hakikat bahawa tidak ada cara lain untuk mereka mendapatkan wang untuk merawat Wang Yan, mereka membuat keputusan menyayat hati dengan membawa pulang kanak-kanak itu dan menunggu kematiannya.

Bapa kepada kanak-kanak penghidap leukemia sudah tidak mampu menanggung kos rawatan anaknya. -foto Kwong Wah Daily

Dilahirkan pada 2014, Wang Yan sebelum ini seorang budak yang normal dan sihat sehinggalah dia mengalami demam luar biasa pada 2018.

Setelah tiba di hospital, doktor mengesahkannya menghidap leukemia lymphoblastic akut, di mana sum sum tulang mula menghasilkan paras sel darah putih yang sangat tinggi.

Memandangkan keadaannya yang teruk Wang Yan perlu menjalani kemoterapi. Tetapi selepas tujuh sesi kemoterapi, keadaannya sama sekali tidak kelihatan bertambah baik.

Menurut doktor yang mengendalikan kes ini, mereka telah memberitahu ibu bapanya bahawa disebabkan keadaannya, kemoterapi hanya akan membantu 'menunda kematian' dan tidak menyembuhkan penyakit itu.

Mengetahui bahawa mereka tidak dapat meneruskan rawatan dengan pendapatan yang tidak seberapa, ibu bapa Wang Yan memutuskan untuk membawanya pulang ke rumah.

Tetapi Wang Yan tidak bersedia untuk menyerah. Dalam keadaan sedih dan berpaut di atas katilnya, dia berkata: "Bapa akan selamatkan saya. Saya tak mahu mati. Saya takut."

Doktor di hospital tersebut memberitahu pasangan suami isteri itu mereka boleh cuba memindahkannya ke sebuah hospital lain untuk rawatan dengan kos lebih dari 1 juta yuan (RM590,000).

Dalam keadaan terdesak, ibu bapa Wang Yan hanya mampu meraih simpati netizen di China untuk mendapatkan bantuan.

Di sinilah berlakunya keajaiban apabila netizen berjaya mengutip wang perubatan Wang Yan dalam tempoh beberapa jam.

Tersentuh hati dengan kebaikan mereka, ibu bapa Wang Yan sangat berterima kasih kepada orang ramai yang tak dikenalinya yang sudi membantu mereka.

"Masyarakat terlalu baik kepada kami. Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan Wang Yan bertambah baik." -WOB

leukemia, kos, rawatan, miskin

Artikel Lain