suria

Wanita ini jatuh cinta dengan DJ di majlis perkahwinannya

Pasangan ini tidak menghiraukan jarak usia 23 tahun antara mereka. -foto @wearemarkandmegan

SEORANG wanita yang mengupah seorang lelaki menjadi DJ di majlis perkahwinannya tidak menjangka dirinya akan jatuh cinta dengan lelaki itu.

Nanny Megan Willis dari Baltimore, Maryland, bertemu Mark Stone, 49, ketika berada di New York untuk mengatur urusan perkahwinannya.

Wanita berusia 26 tahun itu berada di sana untuk bertemu kakaknya, Kristen, orang yang mengupah Mark untuk perkahwinan Megan pada musim panas 2016.

Setahun kemudian, perkahwinan Megan berdepan masalah menyebabkan dia terbang kembali ke New York bertemu Kristen.

Apabila mereka berdua pergi ke bar tempat Mark bekerja sebagai DJ, Megan berbual dengannya.

Mark bercerita tentang perkahwinannya selama 27 tahun pada masa itu dan mereka berdua rapat gara-gara rumahtangga masing-masing yang bermasalah.

Mereka terus berkawan sehingga 2018 apabila perceraian Megan dimuktamadkan. Lapan bulan kemudian, pasangan itu berpindah ke North Carolina untuk secara rasmi menjalani kehidupan bersama.

Pasangan ini saling menyokong selepas masing-masing berdepan masalah rumahtangga. -foto @wearemarkandmegan

Pada awal hubungan mereka, Megan meluahkan alasan perkahwinannya tidak dapat diselamatkan.

"Bercakap dengan Mark benar-benar buat saya sedar bahawa saya tak perlu merayu minta perhatian daripada suami saya.

"Mark masih lagi seorang kawan tetapi dia sentiasa ambil berat tentang saya. Kami berdua suka bersembang tak kira tentang apa sekali pun.

"Sokongan yang diberikan untuk saya melalui semua ini sangat bermakna bagi saya. Melalui sesuatu seperti perceraian, benar-benar memerlukan anda untuk ada seseorang menyokong anda dan itulah yang Mark buat untuk saya... saya sentiasa berterima kasih untuk itu," katanya.

Pada masa itu dia juga mengaku bimbang tentang jarak usia 23 tahun antara mereka, apa orang nak kata termasuklah digelar 'pisau cukur'.

"Bersama dengannya semua pemikiran negatif hilang.

"Saya berjiwa lebih tua dan dia berjiwa muda dan kami menemui titik persamaan," katanya.

Mark terbuka bercerita tentang perkahwinannya yang  mana dia mempunyai seorang anak lelaki berusia 22 tahun dan anak perempuan berusia 20 tahun, hasil perkahwinan dengan bekas isterinya.

Megan dan Mark mengaku sering mendengar cakap-cakap orang luar tentang hubungan mereka. Tetapi mereka tidak marah, malah menggalakkan pasangan dengan jurang usia yang besar untuk terus saling manyayangi.

Mereka juga berharap untuk mempunyai anak sendiri. -MetroUK

DJ, cinta, kahwin, cerai

Artikel Lain