SEORANG wanita dimasukkan ke hospital gara-gara terkena sindrom 'broken heart' (patah hati) selepas makan wasabi yang disangkanya avocado, menurut laporan yang diperincikan dalam jurnal perubatan. Kisah luar biasa ini bermula apabila wanita berusia 60-an dari Israel itu menghadiri sebuah majlis perkahwinan. Ketika di majlis itu, wanita yang tidak didedahkan identiti dalam laporan yang diterbitkan dalam BMJ Case Reports telah makan apa yang disangkanya krim pencicah avocado dalam jumlah yang banyak sebelum menyedari ia sebenarnya pes wasabi, makanan dari Jepun yang biasanya dimakan bersama sushi. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini hanya makan roti dan keju, alami masalah fobia makanan lain Wanita itu kemudian berasa 'tekanan tiba-tiba' di bahagian dadanya sebelum rasa itu merebak ke tangannya, menurut IFL Science, memetik laporan itu. Rasa itu berlarutan selama beberapa jam, tetapi wanita itu memilih untuk terus berada di majlis perkahwinan tersebut. Menjelang keesokan harinya, dia bangun tidur dalam keadaan tidak selesa dan lemah dan memutuskan untuk berjumpa doktor, lapor IFL Science. Sekali pandang, krim avocado dan wasabi nampak serupa tapi awas, rasanya sama sekali berbeza! -foto THESTAR Doktor melakukan pemeriksaan elektrokardiogram (ECG), yang mendedahkan wanita itu menderita 'cardiomyopathy takotsubo' atau dikenali sebagai 'sindrom patah hati'. Keadaan itu ditakrifkan sebagai gangguan sementara fungsi pam jantung normal di satu bahagian jantung. Ia biasanya berlaku oleh tekanan emosi atau fizikal melampau, seperti kematian orang tersayang atau kemalangan. Kebanyakan orang yang mengalami sindrom ini berusia 50 tahun ke atas. Dalam laporan itu, penyelidik mendakwa kes 'sindrom patah hati' wanita itu adalah yang pertama kali didorong oleh pengambilan makanan semata-mata, lapor IFL Science. Pada masa lalu, kes-kes yang berkaitan dengan makanan untuk sindrom ini dikaitkan dengan anafilaksis, tindak balas alahan yang teruk. "Ini adalah laporan pertama cardiomyopathy takotsubo yang berpunca oleh wasabi," tulis penyelidik, menurut IFL Science. Ia menambah wanita itu pulih setelah dirawat. -FOX