suria

Padah swafoto ‘berani mati’, penumpang dihalau keluar kapal

Seorang wanita dikesan berdiri dalam keadaan berbahaya di sebuah kapal persiaran. Foto Peter Blosic

SEORANG wanita diarah keluar dari sebuah kapal persiaran selepas bertindak memanjat ke balkoni biliknya untuk mengambil gambar dalam keadaan berbahaya, berlatarkan laut.

Penumpang tersebut juga disenaraihitam seumur hidup daripada perkhidmatan yang dikendalikan oleh syarikat itu.

Insiden berlaku di kapal persiaran Royal Carribean, Allure of the Seans sewaktu ia menghampiri Labadee, Haiti awal minggu lalu.

Tindakan wanita itu dikesan oleh seorang penumpang, Peter Blosic sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada kru kapal.

"Saya nampak wanita itu panjat penghadang semasa saya berada di balkoni. 

"Ia berlaku dengan begitu pantas. Tak tahu apa tujuan dia di situ, saya memaklumkannya kepada kru kapal.

"Kalau saya tak beritahu dan dia terjun akan menimbulkan masalah pula," katanya kepada CNN.

Blosic kemudian memuat naik gambar di media sosial, menunjukkan wanita tersebut yang memakai pakaian mandi biru dengan tangannya di kepala.

Menurut Blosic, kru kemudian menjejaki wanita itu dan mengarahkannya untuk meninggalkan kapal itu semasa ia berlabuh di Falmouth di Jamaica.

Seorang jurucakap Royal Caribbean mengesahkan insiden itu.

Dalam satu kenyataannya kepada CNN memberitahu, tindakan penumpang tersebut menyebabkan mereka tidak dibenarkan berlayar bersama Royal Caribbean.

Menerusi laman web Royal Caribbean menjelaskan bahawa 'duduk, berdiri, berbaring atau memanjat, di atas atau melepasi mana-mana penghadang dalam atau luar atau penghadang keselamatan' tidak dibenarkan demi keselamatan penumpang. - CNN

Artikel Lain