KEHILANGAN seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Kamille 'Cupcake' McKinney sejak 12 Oktober lalu akhirnya terjawab, selepas mayatnya ditemui di tapak pelupusan sampah di Birmingham, pada Selasa. Ketua Polis bandar itu, Patrick Smith mengumumkan pada sidang akhbar bahawa mayat Kamille atau lebih dikenali sebagai ‘Cupcake’ oleh keluarganya, ditemui di dalam tong sampah yang dibawa ke tapak pelupusan. Susulan kejadian itu, kata Smith, pihak polis sedang mendapatkan waran terhadap dua individu yang disyaki sebagai suspek utama dalam kes tersebut, iaitu Patrick Devone Stallworth, 39, dan teman wanitanya yang berusia 29 tahun, Derick Irisha Brown. Pihak penyiasat berkata mereka mencurigai Stallworth dan Brown apabila Kamille, diculik daripada satu parti ulang tahun pada 12 Oktober lalu. Kedua-dua suspek telah ditangkap pada minggu lalu atas tuduhan lain dan menamakan orang-orang yang berminat dalam kehilangan Kamille. Patrick Devone Stallworth dan teman wanitanya Derick Irisha Brown ditahan susulan penemuan mayat Kamille. Stallworth didakwa dengan tujuh tuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak selepas penyiasat menemui banyak foto di telefonnya, namun tidak ada satu pun gambar milik Kamille. Dia dibebaskan namun ditahan semula pada malam Selasa. Brown pula didakwa melanggar syarat percubaan dari kes penculikan sebelumnya yang mana membabitkan anaknya sendiri. Pada Jumaat, polis mengeluarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada malam penculikan Kamille, yang menunjukkan dia bermain dengan anak lain di luar kawasan perumahan awam Tom Brown ketika dua lelaki mendekatinya. Kira-kira setengah jam selepas video direkodkan, Kamille dilaporkan hilang daripada taman permainan loaksi pesta ulang tahun itu pada kira-kira jam 8.30 malam. Suspek lelaki yang menculiknya dipercayai memandu sebuah SUV berwarna gelap – Dailymail