suria

Tamak habuan tapi pengecut nak selesaikan tugasan, akhirnya lima kaki pukul ke penjara juga!

Gara-gara tidak mahu melepaskan tawaran lumayan untuk membunuh, lima lelaki bersama seorang usahawan dihukum penjara! -foto AFP

LIMA kaki pukul dipenjara kerana cubaan membunuh setelah masing-masing mengelakkan diri daripada menyelesaikan satu tugasan tetapi dalam masa yang sama tidak mahu melepaskan habuan lumayan yang ditawarkan.

Kisah bermula apabila seorang usahawan dari China, Tan Youhui mencari seorang kaki pukul yang sanggup membunuh pesaingnya, Wei Mou, dan sanggup membayar 2 juta yuan (RM1.2 juta) kepada individu yang dapat menunaikan permintaannya.

Bagaimanapun kaki pukul yang diupah oleh Youhui memutuskan untuk menawarkan tugas itu kepada kaki pukul lain dengan tawaran separuh dari harga asal.

Kaki pukul kedua itu pula menawarkan kerja itu kepada rakan lain (kaki pukul ketiga), yang kemudian membuat penawaran kepada kaki pukul keempat.

Tidak mampu melakukannya, kaki pukul keempat menyerahkan tugasan itu kepada kaki pukul kelima.

Bagaimanapun, kaki pukul kelima tidak puas hati dengan nilai yang diterimanya, justeru dia menyuruh individu sasaran untuk menipu kematiannya, yang membawa kepada penemuan polis tentang plot tersebut, lapor Beijing News.

Seorang usahawan bersama lima yang lain dijatuhi hukuman penjara kerana cubaan membunuh. -foto Mahkamah Nanning

Usahawan dan kelima-lima penjenayah malang itu disabitkan dengan cubaan membunuh oleh mahkamah di Nanning, Guangxi, selepas perbicaraan selama tiga tahun.

Pertikaian bermula pada tahun 2013, apabila Mou memutuskan untuk menyaman Youhui yang merupakan pemaju hartanah.

Bimbang akan kalah dalam perbicaraan mahkamah yang mengambil masa yang lama, Youhui mengupah seorang penjahat bernama Xi Guangan (kaki pukul pertama) untuk membunuh Mou.

Guangan bagaimanapun menghubungi seorang lagi rakan penjenayah, Mo Tianxiang (kaki pukul kedua) dan menawarkan bayaran separuh dari jumlah asal yang ditawarkan.

Tianxiang kemudian memutuskan untuk menghubungi rakan jenayah ketiga, Yang Kangsheng (kaki pukul ketiga), yang menuntut bayaran pendahuluan sebanyak 270,000 Yuan (RM160,000) untuk melakukan tugas itu dengan baki 500,000 Yuan (RM296,500) perlu diserahkan sebaik sahaja tugas selesai.

Bagaimanapun, Kangsheng juga menyerahkan tugas itu kepada seorang lagi penjenayah, Yang Guangsheng (kaki pukul keempat), dengan bayaran dikurangkan.

Tugasan itu akhirnya datang kepada kaki pukul kelima, Ling Xiansi, yang membawa kepada penemuan polis.

Youhui yang mula-mula sekali mengupah penjahat dipenjarakan selama lima tahun, manakala Guangan, kaki pukul pertama, dihukum tiga tahun dan enam bulan.

Kangsheng (ketiga) dan Guangsheng (keempat) dihukum tiga tahun tiga bulan, Tianxiang (kedua) telah dijatuhi hukuman tiga tahun, dan Xiansi (kelima) dihukum dua tahun tujuh bulan penjara. -MetroUK

kaki pukul, bunuh, usahawan, penjenayah

Artikel Lain