SEORANG lelaki kini menjadi buruan polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan dirinya sengaja ‘memaksa’ anjing miliknya menyerang seekor kucing hingga mati. Polis kini sudahpun mengeluarkan imej suspek yang dikenali sebagai Amos Price, 30 tahun. Menerusi rakaman CCTV, kelihatan seorang lelaki memakai jaket dengan hoodie menghampiri sebuah rumah di Walsall, West Midlands, bersama anjingnya. Video itu menunjukkan lelaki itu sengaja menggalakkan anjingnya menyerang kucing yang sedang duduk di atas benteng pagar. Dia juga mengangkat anjing itu untuk membantunya membunuh, sebelum anjing itu menerkam dan menyeret kucing tersebut dari atas benteng pagar ke tanah. Pemilik kucing, Gary Truefitt, 60 tahun, memutuskan untuk memeriksa kamera CCTV apabila haiwan peliharaannya yang lapan tahun itu, Cleo, tidak pulang ke rumah pada 24 Oktober, namun berasa terkejut selepas melihat rakaman berkenaan. Polis West Midlands kini telah mengeluarkan imej wajah Price yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan maut itu. Ketua Superintendan Andy Parsons berkata: “Ini adalah perbuatan kekejaman yang mengerikan dan sangat jijik” - Metro.co.uk