suria

Lelaki hubungi polis selepas isteri botak kepala, menyamar pesakit kanser untuk kutip dana

Jessica melancarkan kempen kutipan dana dengan menipu dirinya didiagnosis penyakit kanser usus. Foto Daily Star

SEORANG wanita ditahan kerana menipu dengan kutipan dana palsu secara dalam talian.

Jessica Ann Smith, 31, melancarkan kempen di laman GoFundMe dan Facebook pada Jun tahun ini.

Menerusi kempen tersebut, dia menulis memberitahu didiagnosis dengan kanser usus dan perlu membiayai kos perubatan.

Dia memperoleh kutipan dana berjumlah AS$13,288 (RM70,177) daripada kedua-dua kempen itu.

Bagaimanapun, penyiasat, Sarjan Steven Benson yang mengetuai siasatan dalam kes tersebut memberitahu bahawa Jessica didapati sihat.

Isu penipuan kutipan dana itu dilaporkan sendiri oleh suami Jessica, Robert.

Jessica turut dilaporkan membotakkan kepalanya untuk kelihatan seperti pesakit kanser.

Bercakap kepada polis, Robert berkata, berdasarkan pengetahuannya, isterinya tidak menghidapi sebarang kanser.

Malahan kata Robert, insurans perubatan isterinya dilindungi oleh majikannya.

Polis turut menghubungi majikan Jessica yang kemudian diberitahu wanita itu mengambil cuti kerana perlu menghadiri upacara pengebumian bapanya.

Tindakan Jessica mengejutkan banyak pihak kerana bapanya, David Cornell masih hidup.

Bagaimanapun, Jessica didakwa menunjukkan sijil kematian mengenai bapanya, kepada majikan.

Jessica didakwa kerana mencuri dengan penipuan dan beberapa pertuduhan kecurian lain. - Daily Star

kanser, usus, botak

Artikel Lain