SEKUMPULAN lipas ditemui dalam telinga seorang lelaki yang mengadu mengalami kesakitan melampau ketika tidur. Lelaki yang dikenali sebagai Lv itu kemudiannya mendapatkan bantuan di Hospital Sanhe, Huiyang di China selepas ahli keluarganya menemui serangga itu dalam telinganya, lapor Mirror. Serangga itu dikesan ketika menghalakan lampu suluh ke telinga pemuda berusia 24 tahun itu bagi mengetahui punca dia mengadu sakit. Bagaimanapun, pakar telinga, hidung dan tekak, Dr Zhong Yijin mendedahkan ada lebih 10 anak lipas dalam telinga lelaki itu. "Ia berlegar-legar di dalam telinganya," katanya. Dr Yijin kemudiannya telah mengeluarkan lipas berkenaan termasuk yang bersaiz besar dipercayai ibu serangga spesis Blatella Germanica itu. Susulan prosedur berkenaan, Lv mengalami kecederaan kecil pada telinga kanannya. Lelaki itu telah dibenarkan pulang selepas dipantau pihak hospital dan dibekalkan ubat cecair untuk dititis dalam telinganya. Lelaki itu dikatakan mempunyai tabiat membiarkan lebihan makanan berdekatan katilnya, sekali gus menarik kehadiran serangga itu.-Philippine Daily Inquirer/Asia News Network