SEORANG wanita mengalami kecacatan kekal pada wajahnya selepas dibakar suaminya gara-gara terlupa membeli rokok dipesannya. Luka pada wajah Galina Armasari, 26, amat serius kerana wajahnya disimbah dengan petrol sebelum dibakar. Suaminya sudah ditahan dan direman selama 30 hari bagi membantu siasatan. Galina mengimbau kembali detik hitam itu menerusi satu temu bual di stesen TV dengan menamakan suaminya sebagai suspek utama. Dia turut menceritakan bagaimana suspek melihat dirinya berusaha untuk memadamkan api pada wajahnya dan enggan menghubungi ambulans. Malah wanita itu mendedahkan dia kini masih belum kuat untuk melihat wajahnya di cermin. Wajah Galina sebelum terbakar. "Semuanya normal pada hari kejadian. Kami tidak bergaduh sehingga dia meminta saya untuk membelikannya bir. "Apabila saya tiba di rumah, kawannya Andrey datang ke rumah dan mereka minum wain bersama," katanya. Namun suspek tiba-tiba menengking Galina kerana terlupa membeli rokok dipesannya. "Dia menyimbah cecair berbau seperti petrol ke muka saya. "Dalam sekelip mata, dia menyalakan pemetik api ke arah muka saya lalu terbakar," katanya. Galina berkata dia dibawa ke hospital oleh ibunya. Polis masih lagi menyiasat insiden itu. - Dailystar.co.uk