SEORANG pegawai polis meletakkan jawatan selepas mengakui bahawa dia membuat cerita kononnya seorang pekerja di sebuah restoran makanan segera menulis perkataan carutan pada cawan minumannya. Ketua Polis di Herington, Kansas, Brian Hornaday berkata, dakwaan pegawai polis yang berusia 23 tahun itu adalah rekaan semata-mata. Hornaday tidak menyatakan nama pegawai tersebut, tetapi berkata dia telah bekerja di jabatan polis berkenaan kira-kira dua bulan selepas menghabiskan kira-kira lima tahun dalam tentera. Ketua Polis itu juga memuji restoran makanan segera terbabit kerana menjalankan siasatan dalaman selain bekerjasama dengan pihak polis. Terdahulu, pegawai berkenaan mendakwa dia singgah di restoran makanan segera itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum menerima cawan minuman yang tertulis dengan perkataan carutan. Sejurus dakwaan tersebut, restoran makanan segera di Junction City itu membantah tuduhan yang dibuat oleh pegawai berkenaan. Menerusi satu kenyataan, pemilik restoran, Dana Cook berkata restoran itu mempunyai kamera litar tertutup yang membuktikan tiada seorang pun daripada pekerjanya yang menulis perkataan itu. - Metro.co.uk