SEORANG penjinak ular nyaris maut selepas dipatuk seekor ular tedung ketika cuba mencium haiwan itu dalam keadaan mabuk. Sonu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dipatuk ular tedung itu dibahagian mulutnya dalam insiden di Karnataka, India. Insiden berlaku ketika penduduk menjumpa ular tedung itu di bandar Bhadravati dan menghubungi Sonu untuk bantuan pada 24 Disember lalu. Sonu bagaimanapun berjaya menangkap haiwan reptilia itu dan mula bermain dengannya. Ketika dia cuba mencium ular tedung itu, haiwan itu kemudian mematuk bibirnya sehingga bengkak. Sonu mula mengalami pendarahan di mukanya dan dikejarkan ke hospital berdekatan. Dia kemudian dirujuk ke Hospital Mcgann di Shimoga untuk rawatan doktor pakar. Doktor berkata Sonu terselamat kerana menerima rawatan dengan segera. Wajahnya membengkak selama 10 hari tetapi kini sudah kembali pulih. - Metro.co.uk