suria

Apa kata Cressida, bekas kekasih Putera Harry tentang keputusannya berundur dari keluarga diraja?

Putera Harry dan Meghan Markle berkahwin pada 2018. -foto AFP

BEKAS teman wanita Putera Harry, Cressida Bonas akhirnya bersuara berhubung keputusan Duke dan Duchess of Sussex untuk berundur sebagai anggota kanan keluarga diraja.

Harry dan Cressida, 30, pertama kali diperkenalkan oleh Puteri Eugenie pada tahun 2012 dan menjalinkan hubungan selama dua tahun, sebelum mengumumkan bahawa hubungan mereka telah berakhir pada April 2014.

Dipercayai bahawa tekanan yang kuat dan kehidupan sebagai anggota rasmi keluarga diraja menjadi punca kepada terputusnya hubungan pasangan itu, satu isu yang jelas menunjukkan ia juga menjadi masalah kepada isteri Harry, Meghan Markle.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Harry hubungi bekas kekasih buat kali terakhir sebelum berkahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Harry, Meghan pilih undur diri dari keluarga diraja

Tetapi pasangan itu tetap berkawan, malah Cressida turut hadir ke majlis perkahwinan Putera Harry dan Meghan Markle pada 2018.

Sekarang, Cressida, yang juga seorang pelakon bercakap menganai keputusan Harry dan Meghan untuk berundur daripada keluarga diraja.

Hubungan Cressida dan Putera Harry hanya bertahan selama dua tahun. -foto AFP

Bintang drama jenayah baharu White House Farm yang ditayangkan di rangkaian televisyen UK, ITV itu berkata dia kecewa kerana sentiasa ditanya tentang hubungan dengan Putera Harry, dan mahu meneruskan kehidupannya.

"Tak ada yang suka dilabelkan. Rintangan bagi saya adalah apabila saya cuba melakukan kerja saya dan orang mahu bercakap mengenainya. Saya bekerja keras dan suka apa yang saya buat tetapi masih ada sesuatu yang perlu saya hadap," katanya kepada majalah Evening Standard.

Apabila ditanya sama ada dia mengambil kisah tentang Meghan dan pengawasan yang diterima oleh media, Cressida menjawab: "Saya tak akan menjawab tentang itu kerana ia akan menjadi tajuk utama, juga rasa tak hormat. Rasa macam ia sudah begitu lama. Apabila ia timbul, jadi pelik kerana saya sekarang berada di tempat berbeza."

Sejak Harry berpisah dengan Cressida dan seorang lagi bekas kekasihnya, Chelsy Davy yang mana hubungan mereka tidak menentu antara tahun 2004 dan 2010, kita mengetahui pasangan ini sangat menjadi perhatian orang awam dan media, serta kesabaran amat diperlukan bagi wanita yang mendampingi seorang putera yang akhirnya membawa kepada berakhirnya dua hubungan ini.

Artikel Lain