PERCUTIAN seorang wanita bersama keluarganya musnah selepas rawatan kecantikan bulu keningnya tidak seperti diharapkan. Colline Rees membelanjakan sekitar 3,000 pound sterling untuk percutian selama seminggu keluarga di Tenerife dan pergi mencantikkan bulu keningnya sehari sebelum pergi bercuti. Malangnya ibu kepada tiga anak itu mendakwa bulu keningnya kelihatan seperti 'Angry Birds' sebaik selepas menjalani rawatan kecantikan itu gara-gara kecuaian pakar kecantikan. Akibatnya dia amat malu untuk bergambar bersama keluarganya sepanjang percutian itu. "Saya tak tahu nak ketawa atau menangis. Semua kawan dan keluarga saya kata saya kelihatan seperti Angry Bird," kata Colline. Colline berkata pakar kecantikan yang sering merawat bulu keningnya itu amat sibuk, jadi rawatan itu dilakukan seorang pelatih muda. Sebaik selesai rawatan itu, Colline berkata pelatih itu perlu melukis bulu keningnya tetapi dia terkejut apabila mendapati hampir keseluruhan bulu keningnya itu hilang. "Saya malu dan benar-benar terkejut. Saya kata kepada pelatih itu adakah anda cuba buat lawak?," soalnya. Namun Colline berkata pelatih itu kemudian meminta maaf kepadanya dan menangis meminta seseorang untuk membantunya membetulkan semula bulu kening tersebut. Selepas insiden itu, Colline mendakwa bulu kening itu mengambil masa selama sembilan bulan untuk tumbuh semula. - Dailystar.co.uk