suria

Sekolah, pusat beli belah kosong... Wuhan kini jadi ‘bandar mati’

Keadaan jalan dan sebuah sekolah yang lengang di Wuhan. Foto: Newsflare

WUHAN, lokasi di mana tercetusnya wabak koronavirus, kini berubah wajah menjadi  sebuah ‘bandar mati’ susulan arahan kuarantin yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularannya.

Seorang pelancong Amerika yang berada di bandar itu sempat merakam beberapa keping foto yang jelas memaparkan situasi lengang di sepanjang jalan.

Wuhan dihuni oleh hampir 11 juta orang penduduk.

Dalam beberapa keping gambar, kelihatan sekolah yang sunyi sepi dan pusat membeli-belah juga kosong tanpa kehadiran pengunjung.

Pejabat pos pula dilihat memaparkan tanda mengatakan ia ditutup sehingga bulan depan.

Kelihatan hanya satu kedai runcit kecil yang masih dibuka.

China memutuskan melarang perjalanan bagi 56 juta penduduknya demi menghentikan penyebaran wabak berbahaya itu.

Ia termasuklah menutup jaringan pengangkutan awam dan akses ke jalan raya di 18 bandar.

China juga mengambil langkah mengenal pasti mangsa dan segera mengkuarantinkan penumpang kereta, pesawat, bas yang mempunyai simptom dijangkiti wabak berkenaan.

Wabak koronavirus dikesan berpunca daripada binatang eksotik yang dijual di pasar di bandar tersebut.

Setakat ini jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 41 orang, manakala lebih dari 1,300 orang pula telah dijangkiti di seluruh dunia. - Dailystar

Wuhan, bandar mati, koronavirus

Artikel Lain