SEORANG pemuda melecur di bahagian kaki selepas vape yang diletakkan di dalam poket seluar tiba-tiba meletup. Richard Bingham, 37, dikejarkan ke sebuah hospital di Archway, utara London susulan insiden itu. Menurut pemuda yang bekerja sebagai kontraktor itu, rokok elektroniknya mengalami litar pintas selepas diletakkan bersama kunci di dalam poket seluarnya. "Saya boleh dengar bunyi bising dan melihat keadaan sekeliling bertanya mengenai bunyi itu. "Kemudian bunyi itu berhenti dan tiba-tiba saya rasa panas dalam poket seluar saya. "Saya cuba keluarkan vape saya tetapi ia sudah terbakar. Ramai cuba membantu tetapi ia sudah terlambat," katanya. Bingham berkata kakitangan hospital menyimbah air di kakinya untuk menghentikan pembakaran itu. "Ia berlaku terlalu pantas tetapi saya tidak pernah merasai kesakitan seperti ini. "Saya masih mampu tersenyum tetapi ia amat menakutkan. Ia seperti bom meletup di dalam poket seluar saya," katanya. Pemuda itu mengalami kesan kebakaran tahap tiga di kaki kirinya dan melepuh di tangan selepas cuba mengeluarkan vape tersebut dari poket seluarnya. - Dailystar.co.uk