SUDAH berusia 100 tahun, tetapi baru menyambut hari ulang tahun yang ke-25! Ia kedengaran agak pelik namun itulah realiti yang berlaku apabila seorang wanita warga emas berpangkat moyang yang berusia 100 tahun ini baru menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-25 pada Sabtu. Ini kerana Betty Morris yang berasal dari Buckhurst, Essex, dilahirkan pada 29 Februari. Tanggal 29 Februari hanya hadir dalam kalendar setiap empat tahun sekali, ataupun ia disebut tahun lompat. Untuk sambutan pada kali ini, bekas pendandan rambut itu hanya meluangkan masa dengan berparti bersama keluarga iaitu anak-anaknya, cucu-cucu dan lapan cicit. Berkongsi rahsia 'panjang umurnya', Betty berkata: 'Tidak masuk akal untuk berfikir saya berusia 25 tahun. Ramai orang di luar sana yang tidak menjaga diri dan menghormati diri, sedangkan ia adalah penting untuk mempunyai kehidupan yang panjang dan bahagia'. Betty berkahwin dengan pasangannya, Harry pada tahun 1940 selepas mereka bertemu ketika dia masih remaja. Pasangan itu hidup bahagia sehinggalah Harry meninggal dunia pada tahun 2014 ketika berusia 86 tahun. - Metro.co.uk