suria

Demi elak dijangkiti Covid-19, tukang gunting rambut berdiri tiga kaki dari pelanggan, guna batang panjang

Pendandan rambut dilihat berdiri jauh dari pelanggan dan menggunakan batang yang dilekatkan peralatan ketika mendandan rambut pelanggan. Foto: Philippine Daily Inquirer/Asia News Network

GARA-GARA bimbang dijangkiti wabak koronavirus atau Covid-19, tukang gunting rambut di China melekatkan gunting dan peralatan lain pada batang yang panjang ketika menggunting rambut pelanggan mereka, lapor Asia News Network.

He Bing, seorang pendandan rambut berusia 30 tahun, merakam gelagat dua pembantunya menggunakan batang yang panjangnya kira-kira sedepa ketika mendandan rambut pelanggan, di sebuah salon di Luzhou, Sichuan, China.

Menerusi video yang tular itu, kelihatan dua pembantunya memegang batang yang dilekatkan alat cukur elektrik dan juga berus shampu.

Kedua-duanya dilihat menjarakkan diri daripada pelanggan selain memakai topeng muka sepanjang sesi dandanan rambut berlangsung.

Memandangkan penularan Covid-19 masih berterusan sehingga kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan orang ramai untuk mengekalkan jarak sekurang-kurangnya tiga kaki daripada sesiapa yang batuk atau bersin.

Pertubuhan itu juga menggalakkan orang ramai memakai topeng muka sekiranya menunjukkan tanda-tanda dijangkiti Covid-19.

Wabak itu sehngga kini telah menjangkiti lebih daripada 90,000 orang di seluruh dunia manakala lebih daripada 3,100 telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. - THE STAR

Artikel Lain