SEORANG bayi yang baru sahaja dilahirkan dilaporkan positif koronavirus atau Covid-19, menjadikannya sebagai pesakit termuda dijangkit wabak berkenaan. Dilaporkan, ibu kepada bayi tersebut dikejarkan ke Hospital Middlesex kerana disyaki menghidap pneumonia pada hari sebelumnya. Bayi tersebut diuji untuk wabak berkenaan beberapa minit selepas dilahirkan. Doktor kini sedang cuba menentukan bagaimana bayi itu boleh dijangkiti wabak tersebut, sama ada ketika berada di dalam rahim atau semasa kelahiran. Ibunya kini dirawat di hospital pakar sementara bayi tersebut pula ditempatkan untuk penjagaan di sebuah hospital lain. Sumber memberitahu The Sun: 'Kakitangan yang bersentuhan dengan kedua-dua pesakit telah dinasihatkan untuk mengasingkan diri sendiri.' Terdahulu sehingga Jumaat, United Kingdom mencatatkan kes positif Covid-19 sebanyak 798 kes, dengan angka kematian meningkat kepada 11 orang. - Metro.co.uk