SEORANG jururawat yang berkhidmat di sebuah hospital di kota New York, meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Covid-19. Kious Jordan Kelly, 48, yang juga pengurus jururawat di Hospital Mount Sinai West dilaporkan meninggal dunia pada malam Selasa lalu. Berita kematian jururawat itu menjadi kontroversi selepas beberapa keping gambar yang memaparkan petugas kesihatan di hospital itu memakai plastik sampah sebagai perlindungan gara-gara kekurangan bekalan, tular di media sosial baru-baru ini. Menerusi posting yang tular itu, kelihatan tiga jururawat di hospital berkenaan memakai plastik sampah yang diubah suai sebagai pakaian perlindungan dipercayai kerana kekurangan bekalan peralatan berkenaan. Turut tertulis ayat 'Tiada lagi gaun di seluruh hospital' di kapsyen gambar tersebut. Kious dilaporkan mempunyai 'asma yang teruk' tetapi ahli keluarganya menafikan perkara itu dan mengatakan jururawat itu dalam keadaan yang sihat sebelum ini. Seorang jururawat berkata kepada The New York Post: "Kious tidak layak menjadi seperti ini. Hospital harus dipertanggungjawabkan. Hospital itu membunuhnya." - Metro.co.uk