suria

Langgar arahan lockdown, menteri kesihatan New Zealand diturun pangkat

Clark perlu menjelaskan kepada Ardern (kiri) mengenai tindakannya beriadah bersama keluarga semasa lockdown.

MENTERI Kesihatan New Zealand diturunkan pangkat selepas mengingkari perintah berkurung di negara itu.

Dr David Clark telah membawa keluarganya bersantai di pantai kira-kira 20 kilometer dari kediamannya.

Minggu lalu, Clark dilihat bergambar dengan menaiki basikal kira-kira dua kilometer dari kediamannya di Dunedin.

Beliau memohon maaf atas kejadian itu dengan berkata, ia sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukannya ketika negara itu mahu rakyatnya duduk di rumah dan bersenam di kawasan setempat sahaja.

Malahan, akibat perbuatannya sendiri Clark memanggil dirinya sebagai bodoh kerana memandu keluarganya ke pantai Doctor's Point pada minggu pertama lockdown.

Mengikut peraturan berkurung itu, kenderaan di negara itu hanya dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan seperti makanan atau ubat-ubatan, manakala senaman hanya dilakukan di kawasan setempat sahaja.

Susulan itu, Clark telah diminta untuk menjelaskan perbuatannya di hadapan jawatankuasa tindakan pandemik itu.

Ia termasuk menyertakan gambar aktivitinya di luar rumah ketika amaran tahap 4 di negara itu untuk perhatian Perdana Menteri, Jacinda Ardern.

Kata Clark, tip ke pantai ternyata melanggar arahan lockdown dan berikutan itu beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Ardern, tetapi ditolak.

"Ketika kita meminta rakyat New Zealand berkorban semasa penularan wabak ini, saya telah kecewakan seluruh pasukan. Saya menjadi bodoh dan saya faham kenapa orang ramai marahkan saya.

"Sebagai menteri kesihatan, menjadi tanggungjawab bukan sahaja untuk mematuhi peraturan, malah menjadi teladan kepada semua rakyat New Zealand. Saya telah memohon maaf kepada perdana menteri dan menawarkan peletakan jawatan saya," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Ardern telah memberi maklumbalas dengan melucutkan jawatan Clark sebagai menteri kewangan dan menurunkan pangkatnya di tahap paling bawah dalam Kabinet.

"Dalam keadaan biasa, saya sepatutnya memecat menteri kesihatan. Apa yang dilakukannya adalah salah dan tiada alasan dalam hal ini.

"Bagaimanapun, ketika ini keutamaan adalah untuk memerangi Covid-19. Kita tidak boleh biarkan berlaku kepincangan dalam sektor kesihatan atau tindakan kita. Untuk alasan itu, maka Dr Clark akan kekal memegang jawatan yang disandangnya.

"Tetapi dia seharusnya dikenakan tindakan kerana telah melanggar peraturan," kata Adern dalam kenyataan.

Setakat ini, New Zealand mencatat 1,160 kes koronavirus dengan 54 kes baharu pada Selasa dan satu kematian.-theguardian.com

Clark, New Zealand, lockdown

Artikel Lain