SUDAH jatuh ditimpa tangga. Begitulah yang dapat menggambarkan nasib seorang jururawat apabila dia diusir dari rumah sewa oleh pemiliknya. Tindakan kejam itu berlaku kerana Clara Serrano, 31, disahkan menghidap Covid-19. Lebih malang, dia baru sahaja berpindah dari bandar Quintanar del Rey, Cuenca, Sepanyol untuk bekerja di sebuah hospital di Madrid pada bulan lalu. "Saya tiba di Madrid pada 11 Mac dan mula bekerja 12 Mac. "Saya mula ada simptom pada 19 Mac dan diuji positif pada 23 Mac," ujarnya. Kata Serrano, pada hari itu juga dia dihalau oleh pemilik rumah. Keputusan itu turut dibuat atas permintaan rakan serumahnya yang lain biarpun dia hanya mengasingkan diri di dalam bilik. "Saya takut. Saya cuba terangkan tetapi mereka suruh saya beredar segera," ujarnya. Dia kini tinggal di sebuah hotel yang diubah sebagai pusat perubatan di Madrid. - Daily Star.