PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe menerima kecaman hebat daripada pelayar Twitter selepas beliau memuat naik satu video memberi mesej kepada rakyat untuk duduk di rumah (stay at home) namun menonjolkan dirinya dalam suasana 'mewah'. "Anda fikir anda siapa," tulis pelayar Twitter kerana menganggap pemimpin itu tidak sensitif dengan nasib rakyat yang terpaksa berjuang untuk mencari rezeki gara-gara terkesan dengan penularan Covid-19. Abe turut menjadi trending di laman sosial tersebut. Terdahulu, beliau memuat naik satu video memaparkan dirinya sedang membelai anjing peliharaan sambil duduk di atas sofa, menghirup secawan teh dan membaca buku. Video itu dimuat naik sebagai maklum balas kepada ahli muzik popular, Gen Hoshino, yang memuat naik video dirinya sedang menyanyi di dalam rumah dan mengundang pelayar untuk berkolaborasi. "Pada ketika orang ramai berjuang untuk hidup, (tapi anda) menunjukkan video yang agak mewah.... buatkan orang tertanya-tanya 'anda fikir siapa anda?" tulis seorang pelayar. Namun ada yang tampil mempertahankan Abe dengan berkata pemimpin itu juga memerlukan masa sendiri untuk berehat dan bersantai. Jumlah kes jangkitan Covid-19 di Jepun telah melebihi 7,000 kes, lapor media NHK. - Indiatoday