suria

Dianggap sebagai penyebar virus, staf rumah penjagaan disembur air ketika ke tempat kerja

Pekerja di rumah penjagaan ini 'diserang' ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya. Foto: Wales News Service

HANYA kerana berkhidmat sebagai seorang kakitangan di sebuah rumah penjagaan, wanita ini menjadi mangsa serangan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab kerana dianggap sebagai penyebar virus.

Ketika kejadian yang berlaku pada Khamis, Abby Jones, 29, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Tredegar, Blaenau Gwent, sewaktu seorang individu yang sedang bersenam melintasinya dan menyemburkan sebotol air ke arahnya.

Menerusi satu perkongsian di Facebook bagi meluahkan rasa kecewanya terhadap insiden tersebut, wanita itu menulis: "Sangat tak percaya betapa sesetengah orang kurang bijak dan menyedihkan."

Jones terpaksa pulang ke rumah untuk menukar uniformnya dan kembali semula ke tempat kerja.

Pengarah urusan perkhidmatan rumah penjagaan Trusting Hands, Helen Vowles berkata, tidak dinafikan apabila seseorang yang bekerja di bidang tersebut diberi tanggapan yang salah oleh segelintir orang awam.

"Semasa anda bekerja di komuniti, ada segelintir orang yang ada salah maklumat dan berpendapat bahawa kami pakai pakaian seragam dan kami menyebarkan virus."

Vowles juga mengatakan insiden itu telah dilaporkan kepada Polis Gwent. - Metro.co.uk

Artikel Lain