TIADA tembakan meriam sewaktu hari ulang tahun kelahiran pemerintah Britain, Ratu Elizabeth yang ke-94 pada Selasa ini. Pegawai di Istana Buckingham berkata ratu itu membuat keputusan berkenaan kerana berpendapat ia tidak sesuai dilakukan pada ketika ini, di tengah-tengah krisis Covid-19. Dipercayai, ini adalah yang pertama kali berlaku dalam pemerintahan baginda selama 68 tahun, di mana tidak akan ada penghormatan sedemikian sebagaimana kelaziman yang dilakukan di Hyde Park dan Tower of London. Pengumuman itu muncul selepas kerajaan menguatkuasakan perintah sekatan di United Kingdom yang meminta rakyat untuk duduk di rumah. Pada hujung minggu Cuti Easter yang lalu, baginda menekankan kepentingan mengekalkan sekatan bagi mengekang Covid-19. Dalam mesej yang disiarkan di televisyen pada 5 April lalu, baginda juga menekankan bahawa negara itu akan mampu mengatasi wabak tersebut, dan mengatakan "kita akan bertemu lagi" kepada warga Britain. - BBC.Com