SPEKULASI mengenai keadaan dan keberadaan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un masih berterusan dengan perkembangan terbaharu menyaksikan Korea Selatan mendakwa pemimpin tersebut 'masih hidup dan sihat'. "Kedudukan kerajaan kami utuh," kata Moon Chung-in, penasihat dasar luar untuk Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, kepada CNN. "Kim Jong-un masih hidup dan sihat. Dia tinggal di daerah Wonsan sejak 13 April. Setakat ini tidak ada pergerakan yang mencurigakan," katanya lagi. Terdahulu, laman web 38 North melaporkan kereta api dipercayai milik Kim diparkir di stesen kepimpinan (Leadership Railway Station) di Wonsan sejak 21 April. Teka-teki mengenai keadaan Kim tercetus selepas pemimpin itu tidak kelihatan ketika perayaan sambutan ulang tahun datuknya pada 15 April. Kali terakhir beliau dilihat di khalayak ramai adalah pada 11 April lalu ketika menghadiri mesyuarat kerajaan. Beberapa media sebelum ini melaporkan pemimpin itu tenat selepas menjalani pembedahan jantung. Beberapa sumber dari negara itu pula mendakwa pemimpin berusia 36 tahun itu meninggal dunia pada Sabtu malam. Namun sehingga kini belum ada pengesahan mengenainya dengan kerajaan Korea Utara masih belum mengeluarkan komen mengenai keadaan kesihatan pemimpin itu. - CNN