suria

Wanita mudik sesak nafas di tepi jalan disangka akibat Covid-19, pemandu kereta sewa ditahan

Pasukan perubatan lengkap memakai PPE tiba untuk membawa wanita yang terbaring di tepi jalan itu ke hospital.

PEMANDU kereta sewa ditahan selepas menurunkan penumpangnya yang dalam perjalanan mudik dari Jakarta di tepi Jalan Raja Kutasari, Prubalinggu, pada Ahad.

Penumpang wanita itu berusia 57 tahun dan berasal dari Desa Sumingkir, Daerah Kutasari.

Ketika dalam perjalanan, wanita dengan singkatan nama YT itu telah mengalami sesak nafas.

Situasi yang dialami wanita malang itu telah dirakam dan video itu tular di Indonesia.

Menerusi visual berkenaan, wanita itu kelihatan terbarang di tepi semak bersama barangan yang dibawanya.

Lebih malang lagi apabila tiada seorang pun penduduk di kawasan berkenaan yang tampil menolongnya.

Beberapa ketika kemudian, kelihatan pasukan perubatan tiba dengan memakai PPE menaiki ambulans.

Pasukan perubatan itu seterusnya telah membawa wanita berkenaan ke Hospital Siaga Medika pada pukul 11.25 pagi.

Ketua Polis Kutasari, Agus Amjat Purnomo berkata, pemandu teksi itu ditahan tidak lama selepas insiden berkenaan.

"Sebaik mendapat maklumat dan nombor telefon pemandu itu, kami terus menghubunginya meminta dia ke balai polis bersama kenderaanya.Ketika ini keterangannya masih diambil," katanya.

Pemandu terbabit yang dikenali sebagai KM berasa dari Desa Bojong, Daerah Mrebet juga di Purbalingga.

Lelaki itu membawa 10 penumpang dari Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi untuk ke Purwokerto, Purbalingga dan Banjarnegara.

"Wanita itu ditinggalkan di tepi jalan kerana enggan menjalani pemeriksaan kesihatan dan memberitahu akan dijemput keluarganya," kata Agus.

Bagaimanapun, kata KM dia tidak tahu penumpang wanita itu mengalami sesak nafas.

"Ketika diturunkan memang tiada sebarang gejala dan pemandu itu juga tidak tahu mengenainya," katanya lagi.

Ketua Jabatan Kesihatan Purbalingga, Hanung Wikantono berkata, pemeriksaan mendapati gejala yang dialami wanita itu tiada kaittan koronavirus.

"Ketika dalam perjalanan ke hospital, wanita itu dalam keadaan sedar walau mengalami sesak nafas. Dia memang mempunyai penyakit asma," katanya.

Kata Hanung lagi, wanita itu kini stabil dan keluarganya telah hadir di hospital berkenaan untuk menjaga wanita itu.-kompas.com

Artikel Lain