suria

Kerja kuat sampai tak sempat makan tengah hari, pegawai tolak dakwaan Trump hanya tonton TV, makan fries ketika pandemik

Trump dikatakan banyak membuat panggilan telefon sepanjang negara dilanda wabak Covid-19. -foto AP

JADUAL Presiden Amerika Syarikat (AS) begitu padat ketika krisis koronavirus sehingga kadang-kadang tidak makan tengah hari, kata pembantunya.

Ia sekali gus menolak laporan bahawa Donald Trump hanya menghabiskan hari-harinya dengan obses menonton liputan TV dan makan kentang goreng.

Staf Rumah Putih memberitahu The Post, presiden bekerja sepanjang masa dan dapat membuat lebih 50 panggilan berkaitan kerja dalam sehari sepanjang pandemik melanda negara itu.

”Saya boleh beritahu kamu bahawa keprihatinan terbesar saya sebagai ketua staf yang baharu adalah memastikan dia mendapat sedikit masa untuk makan," kata Ketua Staf Rumah Putih Mark Meadows kepada The Post.

Dia memberitahu Trump baru-baru ini menghubunginya pada jam 3.19 pagi. Dia tidak menjangkakan panggilan itu dan sedang tidur ketika telefon berdering.

”Saya boleh beritahu kamu bahawa dia akan masuk dan makan tengah hari di luar Pejabat Oval dan banyak kali ia terganggu oleh beberapa panggilan telefon.

“Sekiranya dia ada mendapat masa lebih dari 10 minit pada hari tertentu, saya tak melihatnya dalam tempoh lima minggu saya berada di sini,” kata Meadows.

Seorang pegawai Rumah Putih yang lain berkata Trump, tidak makan tengah hari selama beberapa hari.

”Ada kalanya makan tengah hari tidak pernah difikirkannya.

“Kebanyakan masanya sama ada tiada langsung waktu untuk makan tengah hari atau hanya ada 10 minit," katanya.



Trump mendengar penerangan oleh Mnuchin. -foto Getty

Laporan The New York Times yang mendakwa Trump banyak menghabiskan masa di bilik tidurnya sehingga tengah hari menyebabkan presiden menulis tweet sinis pada Ahad.

“Saya kerja dari awal pagi sampai lewat malam, sudah banyak bulan tak tinggalkan Rumah Putih dan kemudian saya baca cerita di @nytimes tentang kerja saya.

“... jadual dan pemakanan saya, ditulis oleh wartawan kelas tiga yang tak tahu apa-apa tentang diri saya. Saya selalu di Pejabat Oval hingga lewat malam, membaca dan melihat saya dengan marah sedang makan burger dan diet Coke dalam bilik saya.”

Seorang lagi pegawai Rumah Putih memberikan The Post data mengenai panggilan telefon presiden baru-baru ini, yang menurut mereka membuktikan jadualnya yang padat.

Pada Rabu, Trump membuat lebih 20 panggilan bermula dengan satu perbualan sekitar jam 6.30 pagi dengan Setiausaha Perbendaharaan Steve Mnuchin, menurut pegawai itu.

Pada Khamis pagi, Trump membuat 18 panggilan berkaitan kerja dari kediaman peribadinya, termasuk empat kepada pemimpin asing, yang mana ia boleh menjadi perbualan panjang kerana terjemahan dan pelbagai topik. Pada Jumaat, dia memulakan hari dengan empat panggilan lagi dengan pemimpin asing.

Trump kembali ke kediaman di Rumah Putih pada pukul 9 malam pada Rabu dan Khamis, menurut pegawai itu. Pada Khamis malam, dia membuat 11 panggilan kerja. Pada Rabu malam, dia membuat panggilan hingga pukul 11.30 malam dan bercakap dengan gabenor, senator dan ahli kongres.

Trump juga mengadakan mesyuarat dan panggilan semasa berada di Pejabat Oval.

Sekiranya Trump terlintas sesuatu di fikirannya, dia lebih suka menelefon dengan segera.

”Apabila dia menelefon pada waktu malam atau awal pagi, ia benar-benar isu mendesak yang menuntut tindakan segera," kata Meadows. -NY Post

Artikel Lain