suria

Gara-gara salah faham maksud penjarakan fizikal, penduduk 2 kampung bina tembok tutup jalan guna batu bata dan buluh

Salah faham menyebabkan penduduk dua kampung ini bertindak melulu menutup jalan menggunakan batu bata dan buluh.

TULAR di media sosial beberapa foto menunjukkan penduduk membina tembok bagi menutup jalan masuk ke dua perkampungan di Jawa Barat.

Kejadian hujung minggu baru-baru ini melibatkan penduduk di daerah Sumberpucung, wilayah Malang.

Semuanya gara-gara salah faham kerana tidak mendapat penerangan jelas maksud sebenar jarak fizikal.

Pegawai Daerah Sumberpucung, M Sholeh berkata, dua kubu yang dibina itu melibatkan Kampung Sambigede dan Kampung Senggreng.

"Memang benar ada penduduk yang bina penghalang menggunakan batu bata, mereka mendirikan tembok itu sejak pagi Ahad.

"Semuanya gara-gara salah faham maksud jarak fizikal," katanya.

Ia bermula apabila penduduk Sambigede membina gerbang penghalang menggunakan buluh di jalan penghubung kampung itu dengan kawasan lain.

Apabila penduduk Senggreng mendapat tahu mengenai tindakan warga kampung Sambigede itu, mereka pula membina tembok batu bata kira-kira pukul 10 pagi.

"Penduduk Senggreng menganggap jika di Sambigede jalannya ditutup jadi di kampung mereka juga perlu berbuat demikian. Jadi akhirnya jalan ke dua kampung itu ditutup," kata Sholeh.

Bagaimanapun, perbuatan penduduk dua desa itu tidak diketahui ketua kampung masing-masing.

Selepas berita mengenai tindakan penduduk di kedua-dua kampung itu tular, pihak Jawatankuasan Kepimpinan Kota (Muspika) Daerah Sumberpucung telah meninjau lokasi kejadian.

Salah faham antara warga terlibat akhirnya dapat diselesaikan dan mereka sepakat membuka akses jalan berkenaan.

Gerbang buluh di Sambigede diturunkan, manakala tembok batu di jalan masuk ke Senggreng juga dirobohkan.-kompas.com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Senggreng, Malang, penjarakan fizikal

Artikel Lain