TERLANTAR koma dalam tempoh yang lama menyebabkan seorang warga emas yang merupakan pesakit Covid-19 langsung tidak mengetahui bahawa dia selama ini sedang berjuang dengan maut. Brian Harvey, 69, terpaksa bergantung dengan ventilator sejak Mac lalu, di mana dia hanya disahkan positif Covid-19 ketika sedang koma. Pada mulanya Harvey dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru, namun dia sendiri tidak menyedari penyakitnya itu mempunyai kaitan dengan wabak berbahaya tersebut. Ketika datuk kepada enam cucu itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, kira-kira 5,000 orang di Britain disahkan positif Covid-19 dengan sekitar 230 kematian dicatatkan. Harvey hanya sedar daripada koma empat minggu selepas dimasukkan ke unit tersebut. Keluarganya terpaksa memberitahunya tentang krisis kesihatan yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini kerana dia benar-benar tidak mengetahui mengenai wabak tersebut. Anak perempuan Harvey, Faye Stapleton, 32, berkata: "Dia bahkan tidak tahu mengenai Covid-19 ketika dia tersedar. Kami harus menjelaskan kepadanya bahawa ada virus di luar sana, dan menjelaskan bahawa semuanya telah ditutup". Ketika ini angka kematian di UK berjumlah 34,636 orang. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!