SEORANG bayi berusia dua hari dilaporkan meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 di Afrika Selatan, menjadikannya salah seorang mangsa termuda yang maut gara-gara wabak itu. Menteri Kesihatan Afrika Selatan Dr Zweli Mkhize berkata, ibu kepada bayi tersebut terlebih dahulu disahkan positif Covid-19 dan kemudian diikuti oleh bayinya. "Dukacitanya kami telah mencatatkan kematian neonatal pertama yang berkaitan dengan Covid-19. Bayi itu berusia dua hari dan dilahirkan pra-matang. "Bayi itu mengalami masalah paru-paru yang memerlukan sokongan ventilator selepas dilahirkan," kata Dr Zweli. Sebelum ini seorang bayi berusia tiga hari dilaporkan meninggal dunia pada 5 Mei di United Kingdom akibat wabak Covid-19. Dalam kes tersebut, kedua-dua ibu dan bayi diuji positif Covid-19 selepas proses kelahiran. Angka kematian di Afrika Selatan kini berjumlah 339 orang, dan jumlah kes positif meningkat kepada 18,003. - BBC.Com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!