PIHAK berkuasa di Wuhan, China mengharamkan penduduk bandar itu memakan daging haiwan liar susulan pandemik Covid-19. Bandar tersebut adalah pusat penularan Covid-19 yang telah membunuh lebih daripada 320,000 orang di seluruh dunia. Ramai pakar menyifatkan penularan wabak maut itu berpunca dari pasar basah di bandar tersebut. Pihak berkuasa mengumumkan mereka kini melarang aktiviti pemburuan semua binatang liar dan mengatakan bandar dengan penghuni seramai 11 juta orang itu akan dijadikan 'tempat perlindungan hidupan liar'. Selain itu, pihak berkuasa juga mengetatkan undang-undang dengan melarang pembiakan haiwan dan petani yang memelihara haiwan tersebut akan ditawarkan pembelian. Para saintis sebelum ini mengatakan Covid-19 muncul secara semula jadi pada kelawar dan kemudian ia disebarkan menerusi haiwan lain kepada manusia bermula di pasar hidupan liar dan makanan laut di Wuhan. Jumlah kes Covid-19 di China berjumlah 82,965 dengan angka kematian sebanyak 4,634 kes. Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan 'fokus penyelidikan' adalah berkisar penularan daripada haiwan. - Mirror.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!