GAMBAR ngeri yang didedahkan menunjukkan kesan kerosakan pada paru-paru pesakit muda disebabkan pandemik Covid-19. Minggu ini pakar bedah di Hospital Northwestern Memorial dekat Chicago melakukan pemindahan paru-paru yang jarang berlaku terhadap seorang gadis berusia dalam lingkungan 20-an yang kritikal selepas dijangkiti wabak berbahaya itu. Difahamkan prosedur itu kali pertama dilakukan di Amerika Syarikat. Pesakit itu menggunakan bantuan mesin sokongan nyawa di unit rawatan rapi (ICU) selama enam minggu. Pada awal bulan ini, paru-parunya rosak teruk sehingga memaksa pemindahan segera perlu dilakukan bagi membolehkan dia terus hidup. Kesan kerosakan teruk pada paru-paru gadis tersebut. "Transplan tersebut merupakan salah satu cara untuk dia terus hidup," kata Dr Ankit Bharat. Pembedahan rumit yang mengambil masa selama 10 jam itu berjaya dilakukan dan kini pesakit berada dalam keadaan stabil. "Dia sedar dan tersenyum. Dia turut membuat panggilan video kepada keluarganya," kata Dr Bharat. Meskipun pemindahan berjaya dilakukan gadis itu masih perlu menggunakan alat bantuan pernafasan kerana otot dadanya terlalu lemah untuk bernafas sendiri. - Dailystar Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!