SATU-SATUNYA anjing polis baka Corgi di Rusia akhirnya bersara setelah berkhidmat selama tujuh tahun khususnya dalam membanteras jenayah. Redhead, seekor anjing baka Welsh Corgi yang berusia sembilan tahun bukan sembarangan anjing polis. Ia merupakan salah seekor anjing yang paling hebat dalam membantu pihak berkuasa itu mengesan dadah dan senjata api kerana deria hidunya yang tajam. Pemilik Redhead, Olga Chumarova, pada awalnya mahu mendapatkannya sebagai haiwan peliharaan untuk anak perempuannya. Namun Olga, seorang pengendali anjing polis, memutuskan untuk memanfaatkan bakat dan kehebatan Redhead ke dalam pasukannya di Nizhny Novgorod. Ia kemudian menjadi tumpuan ramai memandangkan ia berbeza daripada anjing polis Rusia yang lain, yang biasanya berbadan besar dan kuat seperti baka German Shepherd. Bentuk tubuh dan ukuran ketinggiannya yang rendah membuatkan Redhead cekap menghidu objek di tanah. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!