DEMI melihat anak lelakinya kembali ceria, seorang ibu tunggal merayu sumbangan orang ramai untuk menampung kos pembedahan bagi membuang benjolan pada sebelah payudaranya. Sophie Townsend, 37, berkata dia pertama kali menemui kehadiran benjolan kecil pada puting kanan anaknya Rhys, 11, tiga tahun lalu. Ketika menjalani pemeriksaan, doktor memberitahu bahawa keadaan tersebut disebabkan benjolan lemak yang akan beransur hilang dengan sendirinya. Namun ketika Rhys menginjak tahun terakhir di sekolah rendah, benjolan di putingnya semakin membesar sehingga mencapai saiz sebiji bola tenis. Rhys kemudian didiagnosis dengan gynecomastia, satu keadaan yang menyebabkan tisu payudara membengkak dan terjadi dalam kalangan lelaki dewasa dan kanak-kanak. Keadaan tersebut menyebabkan dada Rhys membengkak dan seakan-akan mempunyai payudara seperti gadis. Menurut Sophie yang juga ibu kepada empat cahaya mata, disebabkan keadaan tersebut, perwatakan anaknya berubah dan tidak lagi ceria seperti sebelumnya, apatah lagi dia sering diusik rakan sekelas. "Dia hilang semua minat terhadap sukan dan motivasi dalam kehidupan sosialnya. Saya hanya mahu bantu anak saya kembali menjadi dirinya sendiri," kata Sophie. - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!