MISTERI kehilangan Datuk Bandar Seoul, Park Won-Soon akhirnya terjawab selepas ditemukan maut. Menurut polis, Won-Soon ditemui maut, beberapa jam selepas dilaporkan hilang. Pasukan mencari menemukan mayatnya di Gunung Bukak berhampiran kediaman rasminya, pada tengah malam. Beliau dipercayai membunuh diri, lapor agensi berita Yonhap. Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Won-Soon, 64, dilaporkan sedang disiasat atas tuduhan gangguan seksual terhadap seorang bekas setiausaha wanitanya. "Satu aduan telah diterima Agensi Polis Metropolitan Seoul," kata seorang pegawai polis yang enggan namanya disiarkan, tanpa mengulas lanjut. "(Mayatnya) tidak menunjukkan tanda-tanda dibunuh," kata pegawai itu sambil menambah siasatan akan dijalankan di bawah prosedur bunuh diri. Pasukan polis membawa keluar mayat Park Won-soon. Foto Reuters Laporan mengenai kehilangannya dibuat oleh anak perempuan Won-Soon pada Khamis petang. Won-Soon meninggalkan kediamannya di Jongno di Seoul kira-kira 10.44 pagi, rakaman CCTV menunjukkan beliau tiba di Taman Waryong, di Jongno pada 10.53 pagi dengan menaiki teksi. Won-Soon, anggota Parti Demokrat, menjadi Datuk Bandar Seoul sejak 2011 dan dikatakan calon sesuai bertanding pada pilihan raya presiden 2022. Beliau juga pernah menjadi peguam hak asasi manusia dan aktivis sosial. Tugasnya akan dipangku Seo Jeong Hyup, naib Datuk Bandar, sehingga pilihan raya kecil diadakan yang dijadual pada 7 April 2021. - Bernama Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!