suria

Padam gambar di media sosial jika kurang ‘like’, gadis bunuh diri ketika call rakan baik

Chloe membunuh diri kerana mengalami kemurungan sosial. Foto chroniclelive WS

SEORANG gadis dari County Durham, England bertindak membunuh diri ketika berbual dengan rakan baiknya menerusi panggilan telefon.

Chloe Davidson ditemui mati di kediaman keluarganya di Lanchester pada 20 Disember tahun lalu, pada usianya 19 tahun.

Chloe yang begitu obses dengan media sosial, menerima rawatan mental sejak berusia 16 tahun.

Dia juga mempunyai sejarah mencederakan diri sendiri dan masalah ketagihan minuman beralkohol.

Tahap keyakinan remaja itu sangat rendah sehingga sanggup memadamkan gambar-gambar dari media sosial, sekiranya mempunyai tanda suka atau like yang sedikit.

Bercakap kepada ChronicleLive, ibunya, Clair Reynolds berkata, banyak perkara perlu dilakukan untuk membantu golongan muda menggunakan media sosial selepas anak perempuannya membunuh diri lima hari sebelum Hari Krismas.

Clair, 44, berkata, Chloe mengalami kemurungan sosial.

"Chloe seorang yang cantik tapi dia tak sedar tentang perkara itu.

"Dia terlalu fikirkan tentang apa yang orang lain lihat dirinya. Dia akan muat naik gambar di media sosial dan mahu kesemua ahli keluarga membuat like.

"Jika dia tak cukup puas hati, dia akan padamkannya. Saya salahkan media sosial atas apa yang berlaku," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain