suria

Hong Kong larang penerbangan dari KL selama 2 minggu selepas penumpang positif Covid-19

Hong Kong melarang penerbangan dari Kuala Lumpur selama 3 minggu selepas lima penumpang yang transit di KLIA positif Covid-19. Foto: SCMP

HONG Kong mengeluarkan larangan terhadap penerbangan antara kota itu dengan Kuala Lumpur selama dua minggu, selepas lima individu yang transit di Kuala Lumpur dari India, disahkan positif Covid-19, demikian menurut laporan South China Morning Post.

Lima individu itu terbang ke Malaysia menaiki penerbangan Air India Express ke Kuala Lumpur sebelum menaiki pesawat Cathay Dragon untuk ke Hong Kong.

Laporan itu memetik jurucakap Cathay Dragon yang berkata pihaknya dimaklumkan oleh pihak berkuasa kesihatan Hong Kong pada Sabtu lalu berhubung lima penumpang pesawat KA734 yang dijangkiti virus itu.

"Susulan arahan Jabatan Penerbahgan Awam, kami akan menggantung perkhidmatan penumpang antara Hong Kong dan Kuala Lumpur sehingga 3 Oktober," katanya.

Syarikat penerbangan itu turut berkata mereka sedang berusaha mengesan penumpang lain yang menjadi kontak rapat lima individu itu, selain melakukan pembersihan terhadap pesawat yang terlibat.

Penumpang yang terjejas akibat larangan tersebut akan menerima bayaran balik atau diberi perjalanan alternatif, kata syarikat penerbangan tersebut.

Air India turut dikenakan larangan sama pada Ogos lalu selepas beberapa penumpangnya didapati positif Covid-19 selepas tiba di Hong Kong.

India merekodkan kes Covid-19 kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 5.3 juta setakat Ahad. - South China Morning Post

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain