SEORANG vlogger China meninggal dunia akibat mengalami lecur yang serius di seluruh badan gara-gara dibakar hidup-hidup oleh bekas suaminya. Vlogger wanita yang hanya dikenali sebagai Lamu berada di dalam keadaan koma sejak serangan kejam yang berlaku pada 14 September lalu. Dia meninggal dunia selepas 16 hari bertarung nyawa. Kenyataan polis Khamis lalu mengesahkan laporan media tempatan bahawa bekas suami wanita itu yang dikenali sebagai Tang, mencurah petrol dan membakarnya ketika sedang bersiaran secara langsung. Motif di sebalik serangan sadis itu, yang menyebabkan Lamu mengalami luka lecuran pada 90 peratus tubuhnya, masih belum jelas. Namun, beberapa laporan mengatakan bahawa bekas suami wanita itu membalas dendam setelah dia menceraikannya. Lamu memiliki lebih 885,000 pengikut di Douyin, iaitu aplikasi TikTok versi China dan kerap memuat naik video kehidupan hariannya mencari makanan di kawasan pergunungan dan memasak sambil mengenakan pakaian tradisional Tibet. Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan mereka. - Thesun.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!