suria

Mengadu sakit tekak sejak lebih setahun, rupa-rupanya lintah gergasi melekat pada trakea budak 5 tahun

Doktor berjaya mengeluarkan lintah gergasi dari trakea kanak-kanak tersebut.

SEEKOR lintah gergasi berjaya dikeluarkan dari trakea seorang kanak-kanak berusia lima tahun selepas mengalami sakit tekak lebih setahun lalu.

Kanak-kanak malang dari bandar Linchang, selatan China itu sering mengadu sakit tekak, sesak nafas dan berdengkur ketika tidur.

Pemeriksaan di hospital mendapati seekor lintah gergasi melekat di trakeanya.

Rakaman semasa pembedahan di dewan bedah menunjukkan petugas kesihatan memasukkan sejenis alatan sebelum menarik keluar lintah gergasi sepanjang 2.8 inci itu.

Menurut doktor, lintah itu mungkin memasuki saluran trakea mangsa berpunca daripada minum air tidak dirawat.

Media tempatan melaporkan, agak mustahil lintah boleh hidup di dalam badan manusia untuk tempoh yang lama.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan kira-kira 80 peratus penyakit seperti hepatitis A, polio dan kolera disebabkan tindakan minum air kotor.

Di kebanyakan wilayah di China, penduduk diminta untuk menjerang air terlebih dahulu sebelum diminum.

Pada April lalu, seorang budak berusia sembilan tahun turut mengalami nasib sama apabila lintah sepanjang dua inci berjaya dikeluarkan dari hidungnya selepas dia dipercayai minum air tercemar. - Daily Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain