PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un mengancam untuk menghukum rakyatnya yang melakukan pembaziran makanan ketika negara itu berdepan krisis kebuluran. Hukuman undang-undang menunggu mereka yang gagal melindungi ekonomi negara itu dengan melakukan pembaziran tersebut. Ia merupakan perintah terbaharu yang dikeluarkan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea. Perintah tersebut susulan fenomena ribut taufan pada Ogos dan September yang memusnahkan tanah pertanian dan tanaman, selain kesan kejatuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19. "Pada awal bulan ini, Jawatankuasa Pusat memerintahkan penduduk mengambil bahagian secara aktif dalam menyelesaikan krisis kebuluran kita tahun ini sebagai sebahagian daripada perjuangan menyelamatkan makanan. "Perintah itu juga menekankan perjuangan tidak hanya menyelesaikan masalah untuk mendapatkan makanan tetapi masalah melindungi sistem sosialis. "Ia juga mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa akan mengenakan tindakan dan hukuman lebih keras dalam setiap kesalahan berkaitan pembaziran makanan," kata sumber kepada Radio Free Asia. Sejak Januari lalu, urusan perniagaan dengan dunia luar digantung susulan wabak Covid-19 termasuk penutupan sempadan dengan China. - Dailystar Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!