suria

Remaja maut ditembak gara-gara pasang muzik terlalu kuat

Ellison (gambar kecil) meninggal dunia serta merta selepas ditembak gara-gara memasang muzik dengan kuat di tempat kereta di sebuah hotel. Foto: GoFundMe/Google

GARA-GARA bengang dengan tindakan seorang remaja memasang muzik dengan kuat, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila nekad menembak mati individu berkenaan.

Aidan Ellison, 19, meninggal dunia serta merta selepas ditembak oleh lelaki yang dikenali sebagai Robert Keegan.

Menurut polis, ketika kejadian, kedua-dua individu berkenaan bertengkar apabila Keegan tidak berpuas hati dengan mangsa yang memasang muzik dengan kuat di tempat letak kereta di sebuah hotel, Stratford Inn di Ashland, Oregon pada 23 November lalu.

Keegan, 47, dikatakan telah mengeluarkan pistol dari jaketnya dan melepaskan sedas tembakan yang mengenai dada Ellison dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.20 pagi itu.

Tambah polis, mangsa dan suspek sama-sama menginap di hotel berkenaan tetapi tidak mengenali satu sama lain.

Keegan, dari Talent, Oregon, ditangkap atas dakwaan membunuh dan memiliki senjata api secara haram serta membahayakan orang awam.

Dia menafikan kesemua tuduhan tersebut Jumaat lalu dan kini sedang ditahan di Penjara Jackson County.

Ketua Polis Ashland, Tighe O'Meara memberitahu CNN: "Kesalahan adalah sepenuhnya pada Robert Keegan, dia 100 peratus bertanggungjawab mengenainya. Dialah yang memilih membawa pistol ke dalam situasi itu". - Dailystar

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

muzik kuat, tembak mati, bertengkar, hotel

Artikel Lain