SEORANG ibu empat anak enggan menghantar anaknya ke sekolah sehingga pandemik Covid-19 berakhir sepenuhnya. Keputusan tersebut dibuat susulan bayi kembarnya sering menangis dan sakit sejak dijangkiti virus itu. Andrea Mason, 32, dan anak lelakinya, Stuart, 13, dan bayi kembar berusia setahun, Khloe dan Keeva, masing-masing disahkan positif Covid-19. Wanita dari Scotland itu berkata, dia dan anak kembarnya mengalami batuk yang teruk, sakit tekak dan pening sejak dijangkiti virus itu. Menurut laporan Daily Record, anak perempuannya berusia 14 tahun, Coleen sedang menunggu keputusan Covid-19, tetapi Andrea merasakan hasilnya juga positif. Dia turut berkongsi penderitaan dan kesakitan yang dialami mereka sekeluarga. Andrea merancang supaya anak-anaknya 'sekolah di rumah' dan meminta kerja sekolah dihantar ke rumah. "Saya tak kisah apa yang orang lain katakan pada saya, tetapi anak-anak saya tidak akan kembali ke sekolah sehingga keadaan kembali bertenang. "Saya akan menghubungi pihak sekolah dan melihat sekiranya mereka boleh menyediakan tugasan untuk anak-anak saya di rumah. "Saya boleh melakukan 'sekolah di rumah' sebaik beransur pulih, tetapi pada masa ini jangkitan virus melemahkan saya," katanya. - Mirror Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!