suria

Penumpang ada gejala Covid-19 meninggal dunia ketika pesawat mendarat cemas

Syarikat penerbangan kini membuat pengesanan kontak terhadap penumpang yang menaiki penerbangan itu. -gambar hiasan/ foto Bloomberg

SEORANG lelaki dikatakan 'menggigil dan berpeluh' dengan gejala Covid-19 meninggal dunia ketika sebuah pesawat membuat pendaratan cemas.

Ketika kejadian, pesawat itu berlepas dari Orlando, Florida di Amerika Syarikat pada 14 Disember ke Los Angeles (LA).

Penumpang tersebut disahkan meninggal dunia selepas kapten juruterbang membuat pendaratan cemas di New Orleans, Louisiana.

Menurut United Airlines, penumpang itu mengalami serangan jantung.

Terdahulu, usaha untuk menyelamatkan lekaki itu dilakukan oleh pegawai perubatan di dalam pesawat, dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR).

Bercakap kepada Mail Online, seorang penumpang mendakwa isteri mangsa memberitahu suaminya menunjukkan gejala pada minggu sebelum itu, dan mensyaki ia adalah Covid-19.

Susulan pendaratan cemas itu, penumpang lain kekal berada di dalam pesawat untuk penerbangan ke LA.

Pusat Penyakit, Kawalan dan Pencegahan (CDC) kini segera mengesan semua 179 penumpang di dalam pesawat itu.

Pada Jumaat lalu, syarikat penerbangan itu memberitahu ia membuat pengesanan kontak terhadap penumpang dalam penerbangan tersebut.

United Airlines memberitahu CDC tidak menyatakan punca kematian lelaki itu dan syarikat penerbangan itu tidak mengetahui sama ada mangsa meninggal dunia akibat Covid-19.

Bagaimanapun, United Airlines mengatakan bahawa isteri mangsa kedengaran memberitahu pegawai perubatan kecemasan bahawa suaminya menunjukkan gejala virus itu termasuk hilang deria bau dan rasa.

Menurut United Airlines, ia bekerjasama rapat dengan CDC dan memaklumkan bahawa keselamatan penumpang dan anak kapal menjadi keutamaan. - Daily Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain