suria

Tragis... suami bunuh diri, 2 anak selepas isteri mengaku lakukan seks dengan rakan sekerja

Polis menemui tiga mayat di dalam sebuah kereta, di lokasi kejadian. -foto IC in the Republic of Bashkortostan

SEORANG suami bertindak membunuh dua anaknya dan dirinya sendiri, hanya beberapa jam selepas isteri membuat pengakuan bersikap curang.

Fazyl Khalikov, 37, cuba menghubungi isterinya yang berusia 31 tahun, Galiya, beberapa kali sepanjang malam ketika isterinya menyambut Krismas bersama rakan-rakan di Ufa, Rusia.

Isterinya bagaimanapun tidak menjawab panggilan pada malam berkenaan.

Lebih mengejutkan, isterinya yang pulang ke rumah keesokkan harinya membuat pengakuan telah mengadakan hubungan seks bersama rakan sekerja.

Turut dilaporkan Galiya menuntut penceraian daripadanya, susulan kejadian itu.

Pasangan itu menaiki kereta sekitar bandar untuk mengadakan perbincangan, sebelum Fazyl menyuarakan hasrat mahu membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar.

Fazyl kemudian memandu sejauh kira-kira 190 kilometer ke sebuah perkampungan terpencil sebelum dikatakan membunuh anak-anaknya dan dirinya sendiri.

Menerusi satu mesej kepada abangnya, Fazyl berkata: "Isteri saya curang, dia membuat pengakuan pada hari ini.

"Dia beritahu mencintai lelaki lain dan mereka telah mengadakan hubungan seks di sebuah parti.

"Selamat tinggal, saya akan bawa anak-anak bersama saya," katanya yang menghubungi isteri bagi memaklumkan bahawa anak lelaki mereka berusia enam tahun, Askar dan Ayana yang berumur 18 bulan akan mati.

Polis menemui tiga mayat, dua jam kemudian dekat tepi sungai di lokasi kejadian.

Menurut pasukan siasatan, tiga mayat ditemui di dalam sebuah kereta.

"Kematian suspek dan mangsa disebabkan oleh keracunan karbon monoksida," menurut kenyataan itu.

Bedah siasat ke atas mayat dijalankan. - Daily Star



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan