SEORANG wanita yang menyangka telah mengebumikan suaminya terkejut apabila suaminya itu pulang dalam keadaan masih bernyawa. Lebih mengejutkan, suaminya dilaporkan pulang ke rumah selepas empat hari pengebumian dilakukan. Sebelum kejadian itu, Victoria Sarmiento menghabiskan masa beberapa hari mencari suaminya Julio, 65, yang tidak pulang ke rumah. Bimbang dengan keadaan itu, Victoria yang berasal dari El Carmen, Honduras, membawa dokumen pengenalan suaminya ke sebuah hospital pada 30 Disember, di mana kakitangan memberitahu bahawa suaminya itu meninggal dunia kerana kritikal akibat Covid-19, baru-baru ini. Dia dilaporkan melihat jasad suaminya di bilik mayat Hospital de Occidente, sebelum ia dibawa untuk dikebumikan. Bagaimanapun, empat hari kemudian ketika Victoria masih bersedih di atas pemergian itu, suaminya secara tiba-tiba pulang ke rumah. Ia susulan penemuan suaminya dalam keadaan cedera di sebuah padang di kawasan Trinidad berdekatan. Julio cuba berjalan tetapi rebah dan tidak dapat berjalan, dan terkandas selama beberapa hari tanpa makanan dan minuman. Bercakap kepada akhbar LaPrensa, Victoria berkata: "Yang meninggal dunia itu bukan suami saya, kerana suami bersama saya di sini sekarang. Saya kenal dia. "Pihak berkuasa di rumah mayat sepatutnya memeriksa dia dengan betul bagi memastikan ia (mayat) adalah benar-benar dirinya," kata Victoria. Hospital de Occident mengesahkan lelaki yang tidak dikenali yang dikebumikan itu, dijangkiti akibat Covid-19 selepas datang ke hospital pada 27 Disember lalu. Lelaki berkenaan meninggal dunia beberapa jam kemudian. Namun, pengarah hospital itu, Juan Carlos Cardona menegaskan bahawa wanita berkenaan tersilap membuat pengecaman sehingga menyangka mayat itu adalah suaminya. Beliau menambah, selepas melihat persamaan fizikal mayat lelaki itu dengan gambar suami yang dibawa oleh Victoria, wanita tersebut sendiri mengecam mayat berkenaan sebagai suaminya. - Mirror Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!