suria

Kanak-kanak diabaikan ibu... ditemui bersama 19 ekor kucing dalam rumah kotor, hanya mampu merangkak, tak pandai bertutur

Beginilah keadaan rumah ketika polis menemui kanak-kanak malang berkenaan. Foto: Ministry of Internal Affairs/Dailystar

SEORANG kanak-kanak perempuan ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah unit kediaman jenis apartment di Taldom, Rusia.

Kanak-kanak yang dipercayai dalam lingkungan usia lima tahun itu ditemui bersama 19 ekor kucing, dan hanya mampu merangkak dalam rumahnya yang kotor.

Kanak-kanak malang itu yang tidak boleh bertutur, dipercayai diabaikan oleh ibunya.

Ibunya yang berusia 34 tahun kini ditahan atas tuduhan pengabaian anak.

Menerusi video polis, wanita tersebut memberitahu dia meninggalkan anaknya di bawah jagaan seorang lelaki bernama Alexander, sebelum keluar rumah beberapa hari sebelumnya.

Jurucakap polis Tatiana Petrova berkata: "Pegawai polis dari unit rondaan mengesan seorang lelaki yang mencurigakan.

"Apabila terserempak dengan polis, dia cuba menyembunykan diri dan memasuki sebuah rumah yang terletak di Jalan Saltykov-Shchedrin.

"Polis yang mengekorinya kemudian menemui tiga individu termasuk kanak-kanak malang berkenaan," katanya.

Kanak-kanak tersebut kemudian dihantar ke pusat perubatan untuk rawatan lanjut.

Jawatankuasa Penyiasatan Rusia kini melancarkan siasatan awal berkenaan kes tersebut. - Dailystar

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!