suria

Tragedi letupan gereja Makassar: Pengebom bunuh diri merupakan suami isteri muda, baru kahwin 6 bulan

Keadaan di persekitaran gereja selepas kejadian letupan bom pada Ahad. Foto: AP/Masyudi S. Firmansyah

PIHAK berkuasa Indonesia pada Isnin mengenal pasti identiti dua pengebom bunuh diri dalam kejadian letupan di Gereja Katedral Makassar, adalah pasangan suami isteri.

Pasangan berkenaan berkahwin enam bulan lalu dan polis masih menjalankan siasatan di rumah mereka di Makassar, kata jurucakap polis, Argo Yuwono.

"Siasatan masih dilakukan termasuk mengesan suspek lain," kata Yuwono dalam satu kenyataan.

Polis hanya mengenal pasti pasangan itu sebagai L dan isterinya, YSF yang berusia antara 23 hingga 26 tahun.

Pasangan itu meletupkan bom mereka di luar gereja.

Bom periuk tekanan (pressure cooker) itu mengandungi bahan letupan dan paku untuk meningkatkan bahaya kepada mangsa, kata ketua polis kota Makassar, Witnu Urip Laksana.

Polis melakukan ujian DNA terhadap saudara-mara untuk menentukan identiti penyerang, kata Laksana.

Pasangan itu dipercayai anggota Jemaah Anshorut Daulah (JAD).

Dalam kejadian yang berlaku pada pagi Ahad it, seramai 20 orang termasuk empat pengawal gereja tercedera, selain merosakkan beberapa bahagian gereja dan bangunan berdekatan di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan. - abcnews.go.com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain